Penternakkan Ikan dalam tangki Polythelene (PE) merupakan sistem ternakan alternatif kepada sistem-sistem ternakan air tawar yang lain. Kelebihan sistem ini ialah ia tidak memerlukan ruang kawasan yang luas, tidak perlu membina kolam, kurang tenaga buruh dan boleh dijadikan sebagai hobi untuk memperolehi pendapatan secara sampingan. Walau bagaimanapun sistem ini hanya sesuai kepada ternakan spesis ikan keli (Clarias gariepinus), puyu, tilapia serta beberapa spesis ikan hiasan yang lain.
Terdapat dua jenis reka bentuk tangki (PE) iaitu berbentuk segiempat sama dan bulat yang bersaiz antara satu hingga lima tan metrik dalam dua jenis warna hitam dan biru. Penternak digalakkan menggunakan tangki berwarna biru kerana senang untuk melihat tumbesaran ikan dan mengesan kekotoran berbanding dengan tangki berwarna hitam. Untuk tujuan ternakan ikan, tangki berbentuk bulat digalakkan, manakala asuhan benih ikan tangki berbentuk segiempat sama digalakkan.
Untuk menyediakan tangki baru sebelum memulakan ternakan, langkah2 berikut perlu diambil:
- Tangki yang baru diperolehi perlu dibersihkan dengan teliti agar bahan kimia tidak memberi kesan negatif kepada benih ikan yang dilepaskan
- Tangki baru perlu diisi dengan air yang bersih sehingga keparas maksimum dan dibiarkan selama seminggu untuk menyahkan kesan bahan kimia. Adalah lebih baik jika air dialirkan terus untuk mengurangkan kesan toksik.
Untuk Tangki yang telah lama digunakan beberapa langkah perlu diambil:
- Selepas kutipan hasil dijalankan, dinding dan dasar tangki perlu dibersihkan untuk membuang lumut, najis dan sisa makanan.
- Tangki dicuci dengan larutan garam berkepekatan 10gram/liter dan jemur selama 2 hingga 3 jam untuk membunuh parasit agen penyakit. Kemudian bilas dengan air bersih dan keringkan.
Langkah-langkah berikut perlu diambil sebelum memasukkan air kedalam tangki:
- Sebelum memasukkan air, tangki dan sistem diperiksa bagi memastikan tiada sebarang kebocoran.
- Masukkan air bersih sedalam 15cm dan tambahkan dengan 15cm air hijau supaya paras air menjadi 30cm
- Tambahkan satu liter Efektif Mikroorganisma-EMAS 2 kedalam tangki ternakan untuk meningkatkan mutu air dan memperkayakan kandungan plankton yang merupakan makanan semulajadikepada ikan ternakan.
Bagi benih ikan keli bersaiz 10gram seekor atau 7.5cm, kadar yang sesuai adalah antara 150 ekor hingga 200 ekor semeter persegi. Biasanya benih keli dibungkus di dalam beg plastik dan berisi gas oksigen. Rendam beg plastik selama setengah jam atau sehingga suhu air kedua-duanya sama. Buka beg plastik dan lepaskan benih kedalam tangki ternakan.
Makanan rumusan yang terdiri dari pelet starter yang mengandungi 30-32% protein adalah disyorkan dalam ternakan keli dalam tangki dengan kadar pemberian seperti berikut:
Umur ikan dan Peratus dari berat badan (%)
1-20 (5%)
21-40 (4%)
41-60 (3%)
61-80 (3%)
Kadar penukaran makanan (FCR) bagi keli adalah 2.0-2.51:1. Ini bermaksud dua hingga 2.5 kilogram pelet diperlukan untuk menghasilkan satu kilogram ikan keli. Anggarkan bilangan ikan yang masih terdapat dalam tangki dan didarabkan berat purata dengan bilangan ikan untuk mendapatkan jumlah berat ikan. Darabkan jumlah berat ikan dengan kadar pemberian makanan untuk mendapatkan jumlah yang perlu diberi sehari bagi 14 hari berikutnya.
Contoh pengiraan:
Katakan purata berat seekor ikan adalah 50gram. Andaikan terdapat 350 ekor ikan dalam tangki. Maka jumlah berat ikan adalah 350 ekor X 50gram = 17.5kg
Katakan kadar pemberian makanan adalah 5%, maka jumlah makanan sehari adalah 5% X 17.5kg = 0.85kg, atau 875gram. Ini bermakna jumlah makanan yang perlu diberi adalah sebanyak 875g, sehari selama 14hari berikutnya.
Selepas 14hari buat lagi persampelan untuk menentukan jumlah makanan yang diperlukan untuk 14 hari berikutnya. Proses ini diulangi sehingga 14 hari sebelum kutipan hasil dijalankan.
Makanan tersebut dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu 437.5gram diberi pada sebelah pagi dan 437.5gram diberi pada sebelah petang pada jam 6.00 ptg. Makanan perlu diberi pada waktu senja kerana pada masa itu ikan keli sedang aktif dan kadar metabolisme adalah tinggi bagi membantu meningkatkan penghadaman. Makanan juga boleh direndam didalam EM untuk mempercepatkan tumbesaran ikan.
Makanan diberi secara menabur sedikit demi sedikit sehingga habis dimakan oleh ikan . Semasa makanan diberi, penternak boleh memantau pembesaran dan kesihatan ikan. Jangan beri makanan kepada ikan ketika cuaca mendung dan hujan lebat. Ini adalah kerana ikan tidak aktif jika suhu air menjadi rendah dan ini membazirkan dan mengotorkan tangki ikan.
Tangki perlu ditutup untuk mengelakkan perubahan suhu yang terlampau ketika hujan lebat. Jika julat suhu terlampau berbeza, ikan akan menjadi stress dan akan mudah diserang parasit atau agen penyakit lain. Manakala jika terlampau terdedah kepada cahaya matahari, ikan akan mendapat penyakit lecur kulit kerana air menjadi panas. Untuk mengatasi masalah ini, tangki perlu dilindungi dengan jaring orkid dengan kadar penembusan cahaya sebanyak 50%.